Menurut Slamet Muljana, Kelantan muncul dalam catatan sekitar abad ke-7 masihi apabila catatan Cina menyebut mengenai sebuah kerajaan Melayu iaitu Tan Tan.
Walaupun Slamet Muljana berpendapat Tan Tan merujuk kepada Kelantan namun ada beberapa sarjana lain berpendapat sebaliknya. Paul Wheatley misalnya berpendapat bahawa Tan Tan sebenarnya berlokasi di Muara Sungai Besut ataupun di Sungai Terengganu.

Dan tidak kurang pula, ada sarjana yang menyatakan bahawa Tan Tan sebenarnya terletak di kawasan Segenting Kra mengadap Teluk Siam.
Walaupun begitu P. Wheatly berpendapat bahawa Kerajaan Chih Tu yang merupakan bawahan kepada Kerajaan Funan berlokasi di Kelantan dan berpusat di Tanah Merah. Catatan Cina menyatakan bahawa Kerajaan Chih Tu ini terletak di kawasan Laut Selatan (Nanhai) dan untuk sampai ke ibu kota kerajaan iaitu Seng Chih, seseorang itu perlu mudik ke hulu sungai selama sebulan dan tanah di kawasan ini berwarna merah.
Tetapi lokasi Chih Tu itu sendiri masih dalam perdebatan apabila ada sarjana yang beranggapan yang lokasi Chih Tu sebenarnya berada di Pahang atau Patani.
Sekitar abad ke-14 pula, istilah Chi-lan-tan telah digunakan oleh Wang Ta Yuan dalam bukunya yang bertajuk Tao I Chih-lioh. Menurut beliau Chi-lan-tan merupakan sebuah negeri di kawasan Semenanjung Tanah Melayu.
Walaupun sarjana tidak bersepakat mengenai lokasi Chi-lan-tan tetapi sebahagian besar daripada sarjana setuju bahawa Chi-lan-tan merujuk kepada Kelantan. Menurut Ahmad Jelani Halimi, walaupun Wang Ta Yuan tidak menyebut agama yang diamalkan oleh masyarakat Kelantan pada waktu itu tetapi berdasarkan penulisannya itu, berkemungkinan besar penduduk Kelantan pada abad ke-14 sudahpun memeluk agama Islam.
Ini menjadikan Kelantan sebagai antara negeri awal yang menerima Islam sewaktu kebanyakan negeri Melayu lainnya seperti Tambralingga, Pahang, Teng-chia-lu, Langkasuka dan sebagainya masih lagi mengamalkan kepercayaan pagan ataupun Buddha-Hindu.
Sumber : https://www.facebook.com/826558591063535/posts/1950841745301875/?mibextid=Nif5oz